October 31, 2013

Tentang Cinta Hati Dia





Papa, inilah gambar terakhir papa ambil sebelum papa pergi tak kembali keesokkannya. Gambar inilah yang membuatkan papa ketawa dengan keletah pengarang jantung papa tu. Comot kan dia. Dia sangat merindui papa.

Hari pertama papa pergi, dia telah jatuh sakit papa, susu tak nak minum..tidur tak nyenyak dan dia kena cirit birit. Kesian sangat papa sebab mata dia melilau lilau mencari papa. Mencari wajah kesayangannya. Mencari bau papa.

Demi dia papa, mama cuba menjadi kuat. Demi cinta hati papa, mama cuba kuatkan diri kerana pada dia ada papa. Dialah hadiah yang paling berharga dari papa untuk mama. Hari ini mama tak boleh mengaji sebab mama uzur. First time uzur tanpa papa.

Tentang Kuih Kesukaannya..


Papa, lunch hour tadi mama turun pergi belakang office mama. Macam biasa kan papa ramai yang berniaga tengahari kat belakang ni. Mama bukannya nak makan sangat tapi memaksa diri supaya tak ada officemate yang akak berleter kat mama.

Mama nampak pulut kesukaan papa. Terus mama beli. Kalau dapat kat papa mesti papa tersenyum gembirakan sambil makan tapi mama makan dengan rasa yang amat sebak.

Entah kenapa, hari ini airmata amat mudah mengalir. Bila mendengar zikir dan mengikuti zikir pun mengalir airmata.

Ohhh!!! terasa sungguh bila papa tiada.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Airmata Rindu

Allahuakhbar!!!

Papa...mama rindu sangat..maafkan mama papa sebab mama menangis. Mama tak boleh tahan. Mama rindu sangat.


Biarkan mama menangis kejap yer papa supaya mama tak rasa sakit sangat rindu itu, supaya mama tak rasa pedih sangat kehilangan itu walaupun hakikatnya sangat sakit.

Papa tahu mama sangat sayangkan papa kan..kita selalu bergaduh sebab masing masing nak cakap rasa sayang kita..papa selalu cakap papa sayang mama lebih dari mama sayang papa..mama pun selalu cakap mama yang sayang papa lebih dari papa sayang mama..kini mama tahu papa yang lebih sayang mama sebab bila papa tak ada, mama lost..mama macam budak kecil yang baru belajar..

Allahuakhbar..Ya Allah, ampuni dosa dosa suamiku Ya Allah..rahmati dan tempatkanlah suami dikalangan orang yang beriman..selamatkanlah suamiku Ya Allah dari siksaan kubur dan neraka kerna sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Published with Blogger-droid v2.0.4

October 30, 2013

Tentang Sakit Dan Dia Tiada



Papa, mama macam tak sihat hari ini. Kepala mama sakit sangat. Berdenyut denyut macam nak pecah.

Adoi sakit sangat papa. Kalau papa ada mesti mama dah telefon mengadu kat papa. Mesti papa suruh mama ambik MC dan pergi klinik.

Papa, mungkinkah sebab mama menahan tangisan sebab tu mama sakit kepala?

Papa, tadi mama call mak, papa nak tahu tak buah hati kita si mata bulat tu, Qaseh Zara Aishah naik motor dengan tok ayah. Tok ayah bawak dia ronda ronda. Mak cakap dia senyum je.

Gambar kat atas kan papa gambar tok ayah hantar pagi tadi.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Menunggu


Papa, balik kerja semalam dengan adik and diana. Mama naik monorel sampai KL Sentral. Selalu papa yang setia menunggu mama sama ada mama lambat atau cepat..sama ada hujan atau panas papa tetap menunggu mama. Kalau mama macam lewat sikiy dari biasa, papa mesti call dan sms tanya mama kat mana, kalau hujan kay KL Sentral tu papa mesti bagitahu mama awal awal.."kat sini hujan, nanti bawa payung" tapi semalam tak ada lagi semua itu. Mama tunggu adik lama sangat.


Semalam sebelum balik, adik bawa pi Ikea kejap. Dia nak cari barang. Kami terus makan kat situ. Mama makan fav mama. Tak habis pun papa sebab selalu mama kongsi makan dengan papa!



Published with Blogger-droid v2.0.4

October 29, 2013

Bila berhujan bersama juraian mutiara

Papa, pagi lagi dah hujan. Diana dengan adik hantar mama semalam kat office tapi hari ini diaorang hantar mama sampai monorel KL Sentral aje sebab diaorang tak pandai jalan di KL macam papa.

Papa, sedih sangat. Kalau papa ada tentu papa tak akan benarkan mama naik monorel pagi pagi seorang diri tanpa ditemani papa. Tentu papa tak akan biarkan mama jalan kaki meredah hujan dan tentu papa tak akan biarkan mama menangis berlinangan airmata meredah pagi hari.

Papa, bila papa pergi baru mama rasa papa sangat melindungi mama. Papa selalu mengutamakan mama. Papa sangat memanjakan mama.

Papa, mama harap mama kuat untuk menghadapi semua ini tapi bila terpaksa melalui keadaan seperti pagi tadi, mama rasa mama tak mampu berdiri..mama rasa tersungkur..tapi bila terasa suara papa yang inginkan mama kuat, mama teruskan perjalanan mama..

Published with Blogger-droid v2.0.4

Bila Tiada Lagi

Semalam mama mulakan hari pertama bekerja tanpa papa sepanjang perkenalan mama hinggalah saat terakhir papa. Rasa hiba bila tiada lagi perbualan di pagi hari, tiada lagi tabiat mama memegang tepi poket seluar papa kala papa drive, tiada lagi ciuman di dahi dan pipi bilamana mana menyalaminya. Terasa sangat janggal! 

Hari pertama berkerja, mama sangat tekun. Asyik menunduk membuat kerja sebab rasa rendah diri kerana mama kehilangan sebelah tangan dan kaki yang selalu membantu mama untuk bangun kembali kala mama hampir tersungkur. Memang terasa sunyi office mama mungkin kerana masing masing masih terkejut dengan pemergian papa.

Ada masa airmata masih lagi berlinangan bila ada teman teman lain memeluk mama. Rasa sayu, rasa sakit kehilangan itu sukar digambarkan. Tiada lagi sms..tiada lagi panggilan telefon bertanyakan "mama buat apa" "mama dah makan" dan tiada lagi sms kala papa tengah dialisis mengadu tentang penatnya kena duduk dan baring, tentang sakit bontotnya sebab duduk lama dan juga tentang tekanan darah papa yang kekadang cantik kekadang rendah.

Tiada lagi mama terkejar kejar nak balik dari office sebab tak nak papa tunggu mama. Tiada lagi kedengaran suara papa berkata "eeeee tak sabarnya nak sampai rumah, tak sabarnya nak tengok si mata bulat papa". Tiada lagi kelibat papa di dapur melulu terus memetik suis cerek untuk memastikan Qaseh mempunyai bekalan air panas. 

Kini, tiada lagi perebutan remote Astro dengan papa. Papa suka tengok rancangan masakan dan mama pula kekadang suka melayan cerita Korea jadi siapa yang dapat pegang remote memang heaven sungguh. Tapi yang paling mama suka, mama dan papa sangat suka siri penyiasatan dan action. Masa tu tiada lagi acara menyorok remote.

Papa, mama masih lagi merindui papa. Sangat merindui!!

October 28, 2013

Telah Genap 10 Hari

Hari ini, genap 10 hari papa pergi.  Genap 10 hari juga mama bangun pagi, papa tiada disisi. Genap 10 hari mama mula bekerja semula. Bangun pagi seperti waktu papavada, jam 4 pagi..kali ini mama tak masak air sebab papa tak ada, Qaseh pula masih di rumah maktok. Kalau papa ada, mama jerang air sambil mengulit Qaseh atau pun kacau papa tidur. Bila dah siap masak, satu flask teh o panas utk bekalan papa masa dialisis..kali ini rutin itu telah tiada...saat ini, mama masih lagi menaip entry ini.

First time pergi kerja without papa. First time juga papa tak hantar mama pergi kerja sepanjang perkahwinan kami! First time juga tak sediakan pakaian papa dari yang kecil hingga yang besar. Papa manja. Kalau mama terlupa nak letak waima yang kecil tu pun, mesti nanti papa bersuara.. "ucuk/ma (ikut sedap mulut dia) mana seluar kecik papa" padahal boleh ambik sendiri dalam almari kan.  Pagi ini telah tiada rutin itu.
Mama harap mama kuat untuk bekerja hari ini. Kuat untuk menghadapi kawan-kawan yang sangat mengambil berat. Kuat untuk melakukan kerja mama tanpa linangan airmata. Bertabahlan mama.

October 27, 2013

Kekuatan yang dicari

Bila melalui fasa kehilangan untuk kali kedua sedangkan fasa pertama amat sukar untuk dilalui, mama terpaksa juga kuat kan semangat tabahkan hati kerana mama tahu, jika tidak, mama akan jatuh tersungkur!! demi kesayangan papa iaitu Qaseh, mama kena kuat walaupun belum tentu kejayaannya.
Terngiang-ngiang di telinga mama kata-kata teman papa "bila ditanya kenapa nak pergi K...jauh tu" arwah menjawab " nak pergi ambil hadiah untuk busyuk aku la". Terima kasih papa, hadiah yang sangat bererti dalam hidup mama juga papa. Papa berikan mama teman supaya mama tak sunyi kan. Mama masih tidak percaya papa telah pergi. 

Rumah rasa sunyi sangat tanpa papa. Hari ini mama mengemas lagi. Dulu masa papa ada, kalau mama dengki tengok papa rileks depan TV, mesti mama saja saja suruh papa tolong mama. Kalau papa tak nak tolong, mama berdiri depan TV, jadi papa tetap kena tolong mama kan.

Hari mama pakai tshirt fav papa!! Rasa sedap sangat pakai baju papa. Nyaman sungguh. Terasa macam peluk papa je. Mama rindu nak peluk papa. Tak puas peluk papa sepanjang perkahwinan kita. Papa, ada pakaian papa yang dalam keadaan baik, mama nak sedekahkan yer..bukan tak sayang, mama sayang, tapi mama sedekah atas nama Allah dan papa, moga pahala itu sampai pada papa disana. Ada yang mama simpan untuk mama dan Qaseh.

October 26, 2013

Rasa Hiba

Semalam cukup seminggu papa pergi. Seminggu juga mama kehilangan kawan, teman, sahabat, kekasih dan suami yang selalu bersama kala mama susah dan senang, kala mama gembira dan duka. Kini, bila mama sedih, tiada lagi insan yang sering memujuk mama, tiada lagi gurau senda membuatkan mama ketawa walaupun saat itu mama tengah marah..ohhh!!! rindu sangat!!! Mama masih belum mampu untuk menulis/ menaip entry ini,tapi kesunyian memaksa mama menulis/menaip sesuatu agar rasa hati mama, rasa rindu mama mampu mama luahkan.

Sunyi tanpa papa. Perginya papa bermakna pergi la juga semangat mama. Melayang entah kemana. Bila papa ada, mama rasa mama kuat dan tabah walaupun papa selalu tak sihat tapi mama nampak papa. Pertama kali melihat papa terkujur kaku, semangat mama melayang, hiba rasa hati bila papa pergi tanpa mama disisi!!! Allahuakhbar!!!!

October 23, 2013

Dia juga telah pergi..

Tanggal 18/10/2013..mama kehilangan lagi..papa telah pergi untuk selamanya..tinggalkan mama dan Qaseh nya. Pergi tanpa mama di sisi..

Popular Posts