December 31, 2013

Manis dan Pahit Itu Ketentuan..







2013 bakal berakhir malam ini. Pelbagai cerita berlalu. Ada suka dan duka. Begitulah yang mama lalui, antara suka dan duka, pahit dan manis.

Alhamdulillah, Allah berikan mama dan papa rezeki dan hadiah yang tidak akan dapat ditukar dengan wang ringgit, emas mahupin intan permata. Hadirnya Qaseh seumpama kiriman bidadari dari syurgawi. Penuh kasih dan sayang dia hadir. Papalah insan yang paling gembira dan bahagia. Bersama Qaseh, kami melalui segala kesakitan bersama.

Namun, ketentuan dan perancangan Allah melebihi perancangan kita hambaNya yang lemah.  Papa pergi tidakkan kembali lagi. Pergi tanpa mama disisi. Betapa sakitnya perasaan mama, betapa hancurnya hati. Bertapa terkilannya bila insan yang dikasihi pergi tanpa diri tiada disisi buat kali terakhir.

Rindu usah dibicarakan..kekuatan hilang serta merta. Semangat hilang. Kala entry ini dibicarakan, terasa kepala terlalu berat, tekak terasa loya..terasa sakit tetiba.

Sesungguhnya Allah berikan Qaseh sebagai teman mama kala papa pwrgi mengadap Ilahi.

Ya Allah berikanlah kasih sayangMU pada suamiku. Tempatkanlah dia di kalangan orang2 yang beriman. Permudahkanlah urusanya denganMu Ya Allah.

Ya Allah rahmati kami yang ditinggalkan. Lindungi kami. Permudahkanlah rezeki yang Kau berkati ke atas kami. Pelihara anak kami Qaseh Zara Aishah. Aminnn



Published with Blogger-droid v2.0.4

December 27, 2013

Orientasi

Rasa macam baru semalam mengandungkan Mia, dan terasa baru sebentar tadi melahirkannya walaupun hakikatnya lagi dua tiga hari mengikut tahun genaplah 7 tahun dia hadir dan pergi..

Seandainya Mia dan papa ada, mesti kita tengah sibuk dengan persediaan Mia masuk darjah 1!!! dan Qaseh pula tentu apa yang kakak ada, dia pun mesti nak ada juga.

Tapi sebenarnya sekarang, hanya kami berdua. Qaseh dan mama yang saling bergantungan.

Mama rindu kalian berdua. Mama pasti ok sebab mama ada semangat juang dan kasih sayang kalian walaupun kadangkala mama hampir tersungkur kala rindu itu bertamu dengan hebatnya tapi mama redha sebab Allah lebih menyayangi kalian dan dugaan ini ujian Allah agar mama berubah menjadi hambaNya yang lagi baik.

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 26, 2013

Melangkah Bersama Airmata

Rindu!!! rindu pada papa dengan Mia. Rindu yang bisa membuatkan mama tersungkur.

Melangkah mencari lunch untuk alas perut dengan airmata bertakung. Rindu nak call papa macam biasa. Rindu nak tanya papa ok ke tidak..papa dah makan ke belum..rindu segalanya. Rasa sakit rindu ini papa..

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 24, 2013

Hujan

Entah mengapa, setiap kali hujan mama jadi sebak sangat. Bila hujan, rasa rindu itu sangat kuat dan kejam.

Dulu mama suka hujan sebab bila hujan rasa sejuk, dan bila sejuk mama papa sentiasa genggam tangan mama dan peluk mama. Mama suka. Bila hujan, mama boleh menangis sebab papa pasti tak perasan mama tengah menangis walaupun mama tahu papa selalu berlakon papa tak nampak.

Sekarang pun mama masih suka pada hujan. Hujan itu rahmat. Doa kita selalu Allah perkenankan kala kita berdoa ketika hujan lebat. Walaupun sekarang tiada lagi genggaman dan pelukan papa yang mama rindu tapi mama tahu doa mama ada didalam setiap titisan hujan yang turun di bumi Allah ini adalah untuk papa dan Mia.



Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Tahlil..Birthday



Sabtu lepas, mama balik kampung. Mama dengan Qaseh tumpang adik erock. Pagi lepas subuh kami dah bergerak.

Kebetulan papa, ipah nak buat doa selamat sempena birthday humairah dan dayah pula sebab cukup kepala baby dia. Aqlan nama baby dayah papa. Masa raya haji kita balik, dayah belum bersalin lagi. Papa di sebabkan itu, mama tumpangkan sekali dengan tahlil papa.

Alhamdulillah papa sebab rumah mak betul-betul depan surau jadi ramai yang hadir walaupun kenduri lepas asar.

Sebak sangat sebab mama sangat rindukan papa. Kesian sangat pada Qaseh sebab hilang tempat bermanja.

Insyallah papa, nanti mama buat kenduri tahlil dirumah kita pula yer papa.

Moga segala doa kami yang menyayangi papa diterima Allah dan sampai pada papa.

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 20, 2013

Tentang Sedikit

Kari kambing mama order untuk kawan kawan makan dekat office Khamis lepas. Ada pulut dengan sambal tumis ikan bilis dan roti. Sarapan pagi untuk kawan-kawan mama, moga Allah menerima sedikit sedekah mama untuk papa. Hari ini juga barang yang mama order dah sampai tapi sayu sangat sebab papa tak sempat nak lihat.

December 18, 2013

Genap Dua Bulan

Assalammualaikum..hari ini genap 2 bulan papa tiada disisi mama. Dua bulan juga papa tiada di sisi Qaseh dan dua bulan juga papa bersama Mia disana.

Terasa seolah-olah mama baru aje memandikan jenazah papa, mengucup papa sambil menahan airmata, melihat sahabat handai kita menziarahi jenazah papa, turut bersedih atas pemergian papa yang bukan sahaja mengejutkan mama tapo mereka juga.

Dua bulan juga mama pergi dan pulang kerja tanpa dapat menyalami dan cium tangan papa dan dua bulan juga tiada ciuman kasih di dahi dan ubun ubun mama dan Qaseh.

Papa hari ini mama makan lagi lasagna kala tengahari ketika waktu rehat dan kini mama menikmati fav kita berdua..sundae coklat di KL Sentral. Dulu kita selalu makan dalam kereta kan papa sebelum balik rumah. Mama selalu beli dua perisa berlainan tapi papa tetap nak kacau sundae coklat mama. Papa punyer selalu papa abiskan cepat sebab papa selalu takut mama minta.

Kita selalu berlagak berdua kan.."agak2 kan orang tengok kita, diaorang rasa kita dah kawin ke belum"..

Papa, mama tahu mati itu pasti..antara cepat dan lambat. Mama redha papa sebab mama tahu Allah sayangkan papa..Allah rindu papa..mama dengan Qaseh pun rindu papa. Papa dalam hati kami.

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 17, 2013

Tentang Lasagna

Papa, lunch tadi mama ikut kawan mama makan dekat SR kat office mama. First time makan dekat SR setelah papa tiada.

Papa tahu mama makan apa? makan chicken lasagna dengan air tembikai. Last sekali mama makan lasagna dekat SR dengan papa dua hari sebelum papa pergi tinggalkan mama selamanya.

Perasaan mama...boleh tak papa gambarkan keadaan mama tadi? bergenang airmata depan makanan mama dan kawan-kawan mama..terkeluar kata-kata pada kawan mama.."last makan ni, dua hari sebelum arwah pegi"..

Papa tahukan itu antara fav mama, sedap tapi tak sesedap bila makan bertemankan papa. Mama suka bila papa tengok mama makan sebab papa kata, bila mama makan, mama nampak macam kelakar je tapi ada mama kisah? huhuuu rindu la kat papa..

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Detik Berdetik

Allahuakhbar..terima kasih Ya Allah kerna menjaga dan mengejutkan hambaMu ini..

Mama kepenatan sangat agaknya..balik dari office sampai rumah terus ambil Qaseh dari rumah pengasuh. Alhamdulillah pengasuh sebelah rumah je. Mengulit dan bermain dengan anak yang seharian bersama pengasuh adalah saat yang sangat bermakna.

Papa, mama tidurkan buah hati papa dan dengan mama sekali tertidur. Siap bermimpikan arwah Mia dengan papa. Cuma bila mama cuba imbas kembali mimpi tadi, mesti tak berjaya. Rindu sungguh pada papa dengan Mia.

Melihat Qaseh tidur, teringat papa selalu cakap "mama ni kalau tidur, tempat papa pun nak kacau"...yer papa, Qaseh cover tempat tidur yang seluas sofa 3 tempat duduk tu! mama tak berani tidur atas katil sebab dia tidur lasak sangat. Saban malam, mama angkat tilam letak bawah. Mama kuatkan papa?

Papa, mana suka lihat wajah Qaseh bila dia tidur sama sepertimana mama suka tengok bila papa tidur. Sejuk rasa hati, tenang je..tapi rasa geram macam nak gigit gigit. Semua perasaan tu sama je waktu papa ada..dan kini beralih pada Qaseh. Terasa Allah kirimkan bidadariNya untuk mama selalu bersyukur mempunyai papa yang sangat menyayangi mama.

Perancangan Allah cantik kan papa..papa ada Mia di sana. Mama pula ada Qaseh disini. Tanda kasih Allah dan papa..hampir 3 pagi, mama nak lelapkan mata sekejap..hari ini mama masih perlu pergi office.

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 15, 2013

Tentang Rasa Sensitif

:-(( sedih papa. Papa tak ada untuk mama mengadu domba. Sangat sedih bila orang yang hampir dengan mama bercakap dengan suara yang tinggi seolah olah mama ni telah menyusahkan diaorang. Papa...mama sedih sangat sebab terasa mama ni bebanan mereka.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Qaseh Sakit Tanpa Papa





Terasa masa berlalu dengan pantas papa, hampir dua minggu Qaseh kita discharge dari ward dan hari ini mama rasa mama mampu berkongsi rasa yang mama alami sepanjang dia di ward.

Bermula dari ward kanak-kanak yang penuh dan standard room juga tiada kosong, membuatkan mama rasa sangat kecewa tapi demi Qaseh papa, mama tak kira tentang extra bill untuk bilik executive yang mama kena bayar waktu discharge nanti.

Papa, terasa berat sungguh dugaan yang mama hadapi kala papa pergi tidak kembali. Saat si merah menangis, mama turut menangis..mengenangkan betapa sukarnya bila papa tiada. Betapa sukarnya perasaan mama bergelut mengenangkan nasib anak kecil kita.

Papa, bukan sedikit airmata mama gugur kala Qaseh sakit..hampir saban hari papa. Bila kena suntik ubat dia menangis papa. Kesian dia papa..tangan dia halus papa. Bila dia kena

masuk air dan ubat dekat tangan, terasa kejam sungguh..kesian Qaseh papa.

Papa, sesungguhnya dia amat merindui papa. Disebabkan dia anak kecil yang belum mampu bersuara hanya tingkah lakunya yang mampu mama tafsirkan betapa dia sangat merindui papa.  Kain pelikat papa menjadi selimutnya dan dia akan tidur dengan nyenyak.  Rasa sebak sangat bilamana kawan kawan mama melawat bersama suamo mereka..hati mama rasa di sayat halus melihat Qaseh papa, mesti nak didukung dan bila uncle2 tu dukung, macam selalu dia buat bila dengan papa..diusap pipi dengan mata, dimainnya hidung mereka..papa, betapa mama merindui papa, lagi rindu Qaseh pada papa.

Papa, bila Qaseh kena fisio gara gara kahak yabg banyak..disedut pula kahaknya, kala mendengar dari luar bilik tangisan Qaseh, airmata mama juga bertakung papa. Ramai nurse serta budak fisio bertanyakan papa. Masing masing ingat papa pergi kerja. Kalau papa ada, tentu papa pun akan selalu bersama dengan Qasehkan papa..

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 12, 2013

Tentang Bila Nama Diingati


Papa, mama dekat DEMC sekarang..sukarnya bila papa tiada..Qaseh masih lagi demam. Hari ini follow up dengan paeds dia.

Papa, guess what!!! our doc, maksud mama gynae mama!! just jumpa dia tadi..dia ingat nama mama papa!! macam best kan papa when doctor still remember our name..rindu nak bertreatment bagai...tapi itu takkan menjadi kenyataan kini..

Just chit chat tentang mama and Qaseh. Doctor tahu papa dah tak ada..thanks Ambia for let his knows.

Papa, nampaknya entry ini yang keluar dulu..mama dengan Qaseh je dekat hospital. Adik hantar tadi. She's so cute papa..macam biasa, dia tak kisah siapa yang ambil untuk mendukungnya..dia rela dan pasrah.

Published with Blogger-droid v2.0.4

December 5, 2013

Telah Lama Bertahan

Akhirnya berderai juga airmata. Episod cerita yang dipendam sekian lama telah sampai kemuncaknya pabila rasa itu tidak mampu untuk dikawal. Mama rindukan papa..

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 20, 2013

Qaseh Check In Ward




Papa, anak kita check in ward dekat DEMC. Demam mencecah 40°c, dengan selsema dan batuk, dia jadi sangat pasif. Balik dari office babysitter cakap suhu badan dah tinggi, diaorang dah masukkan ubat melalui bontot.

Hati mama tak tenang, tanpa makan dan mandi terus salin baju sambil mengemas barang Qaseh dan mama. Terus tuju hospital.

Papa, sampai hospital, mama terus tuju bahagian kecemasan sambil kendong Qaseh..masa tu mama sangat takut. .

Papa, mesti orang tercari-cari di mana lelaki yang bergelar papa ketika isteri kelam kabut dengan anak. Mama tak kisah papa sebab dalam hati mama dan qaseh ada papa.

Mama pergi DEMC..result darah Qaseh menunjukkan dalam darahnya ada kuman. Qaseh pada mulanya kena warded tapi sebab ward kanak2 penuh doc refer hospital lain. Puas nurse tolong mama call hospital hospital area Shah Alam, Subang hingga ke Bangsar semua penuh papa. Mama rasa sedih sangat.

Papa, mama akhirnya ambik satu satunya bilik executive yang ada walaupun rate bilik melebihi limit insurance. Mama tak kisah untuk Qaseh. Papa pun tahukan mama sanggup buat apa sahaja demi untuk papa dan Qaseh.

Lega bila Qaseh dah warded papa. Doctor on call pun dah datang check. Drip air pun dah pasang, antibiotik pun dah suntik dan nebulizer pun nurse dah bagi. Kini dia nyenyak tidur.

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 18, 2013

Lil Qaseh Demam


Papa, Qaseh tak sihat lepas kena cucuk tempohari. Kali ini, teruk sangat tak sihatnya papa. Semua pakej dia ambil. Merengek usah dikata hinggakan mama pun menangis sebab mama dah buntu.

Hati mama bagai disayat dan hiris halus bilamana anak kecil kita terpaksa melalui hari dalam kesakitan tanpa papa disisi.

Suhu dia tinggi tadi. Mama tertidur tadi bila menidurkan dia tapi tersedar bila dia merengek..panas sungguh badan dia papa. Mama ambil suhu badan dan basahkan kepala dan badan dia dengam air sepertimana mama selalu buat bila papa tak sihat.

Papa, dah jam 3 pagi dan mama masih tak boleh tidur. Kepala mama berdenyut dengut tanda kurang tidur dan si anak juga tiada kebahnya..airmata menitis laju sebab mama sangat memerlukan papa ketika ini..ketika anak kita tidak sihat.

Papa, mama baru sedar harini genap sebulan papa pergi..rindu sangat pada papa -:-((:-((

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 17, 2013

Kali Pertama 16/11/2013 tanpa papa




Ya papa, kali pertama mama dan Qaseh ke DEMC tanpa papa. Mama rasa teruk sangat tanpa papa bila melibatkan buah hati kita Qaseh.

Hari ini sepatutnya cucuk Qaseh untuk 6 bulan papa, tapi sebab masa Qaseh 5 bulan papa pergi awal dari tarikh temujanji dia maka jadinya anak kecil kita terpaksa menerima dua suntikan setiap satu di pehanya termasuk kena ambil nebulizer sebab asa kahak pula dekat kerongkong. Kesian dia papa. menangis menahan sakit dan mencari papa kerna setiap lelaki yang memakai kaca mata pasti ditenungnya..hati mama sakit papa..sakit sebab papa tak ada saat simata bulat papa memerlukankan papa. Rasa sangat sedih bila mama tak dapat membantu dia papa.

Papa, Qaseh kita dah 7.15kg sekarang ketika 6 bulan. Doktor kata perkembangan dia sangat bagus. Dia dah boleh duduk dengan badan tegak. Badan dia sangat lembut macam budak belajar gimrama..macam macam aksi papa dia buat.

Rindu nak dengar papa ketawa gembira bila tengok aksi Qaseh yang pandai bodek ni. Rindu nak dengar suara papa memberi komen tentang Qaseh.

Papa, kami sayang papa. Mama tahu papa sayang sangat Qaseh. Mama akan jaga Qaseh dengan baik

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 13, 2013

Bila Ia Menitis

Bila airmata tiba tiba menitis..laju umpama air terjun..begitu berat dugaan ini..betapa saat ini mama sangat memerlukan papa..sangat-sangat berharap papa memeluk mama ketika ini macam selalu.

Ya Allah ku terima dugaanMu ini namun berikan kekuatan padaku Ya Allah untuk mengharungi dugaan dan ujianMu dengan sabar dan tabah.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Rasa Rindu



Papa,

Sunyi tanpa papa. Mama hilang tempat mama mengadu kala mama sedih. Mama hilang kata-kata pujukan kala menangis. Mama hilang kata-kata semangat dari pahlawan mama.

Hari ini genap Qaseh 6 bulan papa. Sedih dan pilu mengenangkan Qaseh. Bertambah sedih sebab papa selalu kata tak sabar nak tengok Qaseh berjalan dan berlari. Papa selalu kata mesti comel je terkedek kedek jalan dan berlari dengan diapers dia. Papa, sekarang pun dia comel walaupun comot sebenarnya bila tidur dengan cara tidur fav dia.

Papa, hari ini mama menangis lagi. Kala kehilangan papa masih lagi terasa, rasa sensitif mama benar-benar telah membuatkan mama mengalirkan airmata sambil mama buat kerja. Dulu bila papa ada, mama terus call papa tapi sekarang mama menjeruk rasa sendiri.

Papa, mama rindu papa dengan Mia. Qaseh pun selalu rindu papa. Semalam lepas ambil dia dari rumah pengasuh, bila dia main, kerusi biru papa juga yang dia pandang. Papa kan selalu duduk dekat kerusi biru tu. Tengoklah pic dia malam tadi..memandang kerusi papa..kala itu mama rasa sebak sangat....sebab Qaseh sekarang anak yatim.

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 12, 2013

Tentang. .Part II




Papa, rasa sunyi bila mama tidak berbual dengan papa. Hari ni mama kena cover kerja dua orang staff. Seorang kawan mama memang tak sihat semalam so memang mama suruh MC aje sebab selsema dia sampai bengkak mata dan lagi seorang macam biasalah papa dia MIA.

Tapi mama ok je, mama buat dulu kerja mama baru mama settlekan kerja diaorang. Officemate kata, mama dah macam superwoman.

Hari ni mama pergi bangunan Lim Foo Yong sebab nak cari socks untuk jantung hati kita Qaseh tapi mama tak suka sock tu dan mama beli benda lain...mama beli sepit rambut. Macam cute je.

Tadi pun mama menangis lagi..Linda call..ala kawan mama yang nurse tu. Dia kata dia ada call mama pada hari papa tiada dan mama tak jawab call..mmm memang banyak call yang mama tak jawab papa..bercerita tentang papa dan Qaseh benar benar membuatkan mama menangis..rasa rindu tu..rasa sakit kehilangan dua insan yang sangat mama sayang..papa dan Mia san juga mengenangkan Qaseh yang kini menjadi anak yatim benar benar merobek perasaan mama. 

Mama rasa ada officemate mama nampak mama menangis. Sunyi tetiba office tu dari gelak ketawa diaorang tengah lunch tu.

Hari ni masih lambat lagi ambil Qaseh. Mama masih diatas highway yag jammed ni. Penat menunggu adik pun tak hilang lagi dah kena mengharungi jammed yag tah apa apa tu. Mama rasa nak muntah lagi.

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 11, 2013

Tentang...

Papa..mama tak sihat..badan menggigil tapi berpeluh, nak muntah semua ada. Mama tak sampai rumah lagi.

Rasa sangat bersalah pada Qaseh. Papa...susahnya bila menumpang orang ni. Mama tak suka walaupun adik sendiri.

Sebak rasa hati..sayu je perasaan..airmata bergenang bersama kerinduan yang amat sangat.

Hari ni officemate tanya mama ok ke tidak. Pelik kut sebab mama tidak bersuara macam ketika papa ada dan mungkin terasa sedikit sunyi office mama. Mama cuba berlagak kuat dan tabah tapi hakikatnya mama menahan tangis..

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 10, 2013

Tentang Qaseh Pulang..




Papa, Jumaat lepas genap 3 minggu pap tak ada..mama balik kampung hari Khamis.

Hari ini, mama bawak jantung hati papa balik ke pondok kecil kita untuk pertama kali sejak papa tiada. Perasaan mama? hancur papa..sebab terasa sungguh ketiadaan papa. Qaseh si mata bulat papa melilau lilau mencari papa rasanya sebab selalu ada je suara papa memanggil nama dia, selalu aje ada kiss kat pipi tembam dia..ada je kiss kat dahi dia. Qaseh rindu papa.

Bila tidur je, ada je suara halus dia yg selalu papa cakap "tak nak la buat suara macam tu..sedihla papa dengar". Papa, mama sedih sangat tengok Qaseh. Qaseh belum boleh bercakap, jadi mama kesian sangat dekat dia sebab dia tentu nak tanya mamakan, "papa mana..papa tak rindu Qaseh ke..Qaseh rindu papa..sunyi je rumah ni kan mama"

Papa, dari petang tadi hingga sekarang, tidurnya jantung hati papa beralaskan kain pelekat papa dan juga selimut pun dengan kain papa juga..ada rengekan halus dari Qaseh yang membuatkan airmata mama tak mampu mama tahan. Andai mama yang dewasa ini sangat merindui papa, inikan pula anak kecil yang belum tahu erti kehilangan.

Papa, gambar papa di handphone mama, Qaseh cium sangat sangat tadi..betapa sakitnya dia rindu papa.

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 7, 2013

Tentang Pulang Tanpa Dia




Papa, mama balik Perak malam ni. Selalu balik dengan papa, papa drive mama jadi co pilot tapi kali ni balik dengan adik dan diana jadi co pilot. Mama pulak jadi puan besar kat belakang.

Mama balik nak ambil permata hati kita. Budak mata bulat kesayangan papa, si Qaseh tu. Rindu sangat dekat dia macam mama rindu papa juga. Tadi acik sms bagitahu Qaseh tak nak tidur lepas acik bagitahu mama nak balik. Dia senyum je papa.

Insyallah esok pagi mama ziarah papa yer. Tadi mama ada baca Yassin dan mengaji. Adalah sebotol air untuk pusara papa.

Mama type entry ni dalam kereta. Pertama kali buat kerja macam ni sebab masa papa ada, mama tak pernah update blog mama dalam kereta di malam hari. Main sms dan whazzup selalu la.

Papa, rindu sangat papa. Esok nak bawa Qaseh pergi sunat. Papa tak sempat temankan mama kan. Tak apa, mama tahu papa selalu ada dengan mama..dalam hati mama..medical card dan polisi insurance Qaseh pun mama dah terima. Terima kasih papa

Published with Blogger-droid v2.0.4

November 4, 2013

Tentang Tiada Komen

Papa, tadi lunch hour mama pergi Weld kejap. Pergi tengok kasut. Mama tak suka shopping tanpa papa dan papa macam biasa dari dulu mesti nak ada mama baru nak beli barang. Rasa macam tak seronok kan papa sebab kita dah biasa buat semuanya bersama.

Banyak pilihan tapi tak komen. Kalau dulu papa tak ikut mama sebab kekadang mama shopping time lunch hour mama mesi snap gambar dan hantar pada papa. Papa pula akan komen. Papa juga akan cakap ok atau tidak tapi pilihan tetap papa serahkan pada mama, namun selalunya mama akan ikut pilihan papa. Kali ni, tak ada lagi semua tu. Mama tetap juga nak snap gambar kasut mama.

Mama rasa papa pasti setuju dengan pilihan mama.

Tentang Tangisan Yang Dipendam

Astarafirruallahallazim....Allahuakhbar..


Maafkan mama lagi papa, masih terasa pedihnya kehilangan papa walaupun mama tahu kita akan pergi juga padaNYA antara cepat dengan lambat sahaja.


Airmata mama ni seakan penuh aje takungannya. Mungkin pada pandangan mata kasar orang, mama tidak menangis lagi tapi sebenarnya mama menahan tangisan mama supaya tidak ada yang susah hati pada mama.


Papa, selalu bila mama menangis, papa ada disisi mama dan sekarang bila mama menangis, mama tetap rasa papa ada cuma pada kita dibezakan dengan keadaan yang berbeza. Mama tak bermaksud nak buat papa sedih disanan tapi mama rindu sangat kat papa. Papa pun tahukan macam mana mama rindu bidadari kita Mia bila dia pergi..macam tulah mama bila papa pula pergi..kali ini semuanya berganda.


Papa, kasut office mama yang warna hitam dgn riben kat depan tu dah tak boleh guna. Tadi sampai office baru perasan tapak dia tu dah problem. Tangan mama dah nak dail hp papa dah tadi sebab nak mengadu tp tetiba terrpandang hp papa ada dengan mama..rasa nak meraung papa!!!


Mama hilang tempat mengadu domba pasal perkara perkara remeh dan tak masuk akal. Mama hilang tempat mama menangis tapi mama tahu Allah sayankan papa dan mama tak nak papa sedih sebab Allah senantiasa ada untuk mama mengadu dan meminta.


Papa, mama rindu papa dan bidadari syurga mama. Rindu yang sangat dalam. Mama selalu harap papa dengan Mia datang dalam mimpi mama. Qaseh semakim sihat papa. Pada Qaseh, ada papa dan Mia.


Published with Blogger-droid v2.0.4

November 3, 2013

Tentang Pertama Kali Bila..

papa tiada..pagi ni mama baru start masak sarapan itu pun sebab terpaksa kerana adik adik yang menemani mama dari pagi semalan sedang nyenyak tidur. Semalam diaorang yang readykan breakfast sampai makan malam. Mama langsung tak buat apa.


Terketar-ketar dan menggigil rasanya bila nak masak. Rasa sebak sangat papa. Terasa sungguh bila papa tiada. Sunyi rasa dapur mama.


Benar sungguh papa, bergenang dan menitis airmata bila terpaksa memasak terutama bila melibatkan nasi goreng. Papa sangat suka nasi goreng yang mama masak walaupun orang kata nasi goreng potong getah. Cuma ada cili api yang di tumbuk dengan bawang putih, telur dan ikan bilis. Papa tentu nakan dengan berselera. Rindu nak tengok papa makan.


Hari ini angah datang dari Ipoh naik ETS. Sepatutnya kita kena pergi ambil adik ipar mama kat KLIA esok kan..dulu kita hantar tapi kali ini, papa tak ada nak sambut dia..allahuakhbar!!! sedihnya mama papa..menitis-nitis airmata bila mama menaip entry ini..rasa sakit sangat kehilangan itu.


Papa, Qaseh kesayangan papa yang mata bulat tu dah boleh duduk

Dia tak merangkak papa, terus duduk. Papa tentu teruja sangat kalau papa tengok dia. Papa tengok kami dari jauhkan?


Published with Blogger-droid v2.0.4

October 31, 2013

Tentang Cinta Hati Dia





Papa, inilah gambar terakhir papa ambil sebelum papa pergi tak kembali keesokkannya. Gambar inilah yang membuatkan papa ketawa dengan keletah pengarang jantung papa tu. Comot kan dia. Dia sangat merindui papa.

Hari pertama papa pergi, dia telah jatuh sakit papa, susu tak nak minum..tidur tak nyenyak dan dia kena cirit birit. Kesian sangat papa sebab mata dia melilau lilau mencari papa. Mencari wajah kesayangannya. Mencari bau papa.

Demi dia papa, mama cuba menjadi kuat. Demi cinta hati papa, mama cuba kuatkan diri kerana pada dia ada papa. Dialah hadiah yang paling berharga dari papa untuk mama. Hari ini mama tak boleh mengaji sebab mama uzur. First time uzur tanpa papa.

Tentang Kuih Kesukaannya..


Papa, lunch hour tadi mama turun pergi belakang office mama. Macam biasa kan papa ramai yang berniaga tengahari kat belakang ni. Mama bukannya nak makan sangat tapi memaksa diri supaya tak ada officemate yang akak berleter kat mama.

Mama nampak pulut kesukaan papa. Terus mama beli. Kalau dapat kat papa mesti papa tersenyum gembirakan sambil makan tapi mama makan dengan rasa yang amat sebak.

Entah kenapa, hari ini airmata amat mudah mengalir. Bila mendengar zikir dan mengikuti zikir pun mengalir airmata.

Ohhh!!! terasa sungguh bila papa tiada.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Airmata Rindu

Allahuakhbar!!!

Papa...mama rindu sangat..maafkan mama papa sebab mama menangis. Mama tak boleh tahan. Mama rindu sangat.


Biarkan mama menangis kejap yer papa supaya mama tak rasa sakit sangat rindu itu, supaya mama tak rasa pedih sangat kehilangan itu walaupun hakikatnya sangat sakit.

Papa tahu mama sangat sayangkan papa kan..kita selalu bergaduh sebab masing masing nak cakap rasa sayang kita..papa selalu cakap papa sayang mama lebih dari mama sayang papa..mama pun selalu cakap mama yang sayang papa lebih dari papa sayang mama..kini mama tahu papa yang lebih sayang mama sebab bila papa tak ada, mama lost..mama macam budak kecil yang baru belajar..

Allahuakhbar..Ya Allah, ampuni dosa dosa suamiku Ya Allah..rahmati dan tempatkanlah suami dikalangan orang yang beriman..selamatkanlah suamiku Ya Allah dari siksaan kubur dan neraka kerna sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Published with Blogger-droid v2.0.4

October 30, 2013

Tentang Sakit Dan Dia Tiada



Papa, mama macam tak sihat hari ini. Kepala mama sakit sangat. Berdenyut denyut macam nak pecah.

Adoi sakit sangat papa. Kalau papa ada mesti mama dah telefon mengadu kat papa. Mesti papa suruh mama ambik MC dan pergi klinik.

Papa, mungkinkah sebab mama menahan tangisan sebab tu mama sakit kepala?

Papa, tadi mama call mak, papa nak tahu tak buah hati kita si mata bulat tu, Qaseh Zara Aishah naik motor dengan tok ayah. Tok ayah bawak dia ronda ronda. Mak cakap dia senyum je.

Gambar kat atas kan papa gambar tok ayah hantar pagi tadi.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tentang Menunggu


Papa, balik kerja semalam dengan adik and diana. Mama naik monorel sampai KL Sentral. Selalu papa yang setia menunggu mama sama ada mama lambat atau cepat..sama ada hujan atau panas papa tetap menunggu mama. Kalau mama macam lewat sikiy dari biasa, papa mesti call dan sms tanya mama kat mana, kalau hujan kay KL Sentral tu papa mesti bagitahu mama awal awal.."kat sini hujan, nanti bawa payung" tapi semalam tak ada lagi semua itu. Mama tunggu adik lama sangat.


Semalam sebelum balik, adik bawa pi Ikea kejap. Dia nak cari barang. Kami terus makan kat situ. Mama makan fav mama. Tak habis pun papa sebab selalu mama kongsi makan dengan papa!



Published with Blogger-droid v2.0.4

October 29, 2013

Bila berhujan bersama juraian mutiara

Papa, pagi lagi dah hujan. Diana dengan adik hantar mama semalam kat office tapi hari ini diaorang hantar mama sampai monorel KL Sentral aje sebab diaorang tak pandai jalan di KL macam papa.

Papa, sedih sangat. Kalau papa ada tentu papa tak akan benarkan mama naik monorel pagi pagi seorang diri tanpa ditemani papa. Tentu papa tak akan biarkan mama jalan kaki meredah hujan dan tentu papa tak akan biarkan mama menangis berlinangan airmata meredah pagi hari.

Papa, bila papa pergi baru mama rasa papa sangat melindungi mama. Papa selalu mengutamakan mama. Papa sangat memanjakan mama.

Papa, mama harap mama kuat untuk menghadapi semua ini tapi bila terpaksa melalui keadaan seperti pagi tadi, mama rasa mama tak mampu berdiri..mama rasa tersungkur..tapi bila terasa suara papa yang inginkan mama kuat, mama teruskan perjalanan mama..

Published with Blogger-droid v2.0.4

Bila Tiada Lagi

Semalam mama mulakan hari pertama bekerja tanpa papa sepanjang perkenalan mama hinggalah saat terakhir papa. Rasa hiba bila tiada lagi perbualan di pagi hari, tiada lagi tabiat mama memegang tepi poket seluar papa kala papa drive, tiada lagi ciuman di dahi dan pipi bilamana mana menyalaminya. Terasa sangat janggal! 

Hari pertama berkerja, mama sangat tekun. Asyik menunduk membuat kerja sebab rasa rendah diri kerana mama kehilangan sebelah tangan dan kaki yang selalu membantu mama untuk bangun kembali kala mama hampir tersungkur. Memang terasa sunyi office mama mungkin kerana masing masing masih terkejut dengan pemergian papa.

Ada masa airmata masih lagi berlinangan bila ada teman teman lain memeluk mama. Rasa sayu, rasa sakit kehilangan itu sukar digambarkan. Tiada lagi sms..tiada lagi panggilan telefon bertanyakan "mama buat apa" "mama dah makan" dan tiada lagi sms kala papa tengah dialisis mengadu tentang penatnya kena duduk dan baring, tentang sakit bontotnya sebab duduk lama dan juga tentang tekanan darah papa yang kekadang cantik kekadang rendah.

Tiada lagi mama terkejar kejar nak balik dari office sebab tak nak papa tunggu mama. Tiada lagi kedengaran suara papa berkata "eeeee tak sabarnya nak sampai rumah, tak sabarnya nak tengok si mata bulat papa". Tiada lagi kelibat papa di dapur melulu terus memetik suis cerek untuk memastikan Qaseh mempunyai bekalan air panas. 

Kini, tiada lagi perebutan remote Astro dengan papa. Papa suka tengok rancangan masakan dan mama pula kekadang suka melayan cerita Korea jadi siapa yang dapat pegang remote memang heaven sungguh. Tapi yang paling mama suka, mama dan papa sangat suka siri penyiasatan dan action. Masa tu tiada lagi acara menyorok remote.

Papa, mama masih lagi merindui papa. Sangat merindui!!

October 28, 2013

Telah Genap 10 Hari

Hari ini, genap 10 hari papa pergi.  Genap 10 hari juga mama bangun pagi, papa tiada disisi. Genap 10 hari mama mula bekerja semula. Bangun pagi seperti waktu papavada, jam 4 pagi..kali ini mama tak masak air sebab papa tak ada, Qaseh pula masih di rumah maktok. Kalau papa ada, mama jerang air sambil mengulit Qaseh atau pun kacau papa tidur. Bila dah siap masak, satu flask teh o panas utk bekalan papa masa dialisis..kali ini rutin itu telah tiada...saat ini, mama masih lagi menaip entry ini.

First time pergi kerja without papa. First time juga papa tak hantar mama pergi kerja sepanjang perkahwinan kami! First time juga tak sediakan pakaian papa dari yang kecil hingga yang besar. Papa manja. Kalau mama terlupa nak letak waima yang kecil tu pun, mesti nanti papa bersuara.. "ucuk/ma (ikut sedap mulut dia) mana seluar kecik papa" padahal boleh ambik sendiri dalam almari kan.  Pagi ini telah tiada rutin itu.
Mama harap mama kuat untuk bekerja hari ini. Kuat untuk menghadapi kawan-kawan yang sangat mengambil berat. Kuat untuk melakukan kerja mama tanpa linangan airmata. Bertabahlan mama.

October 27, 2013

Kekuatan yang dicari

Bila melalui fasa kehilangan untuk kali kedua sedangkan fasa pertama amat sukar untuk dilalui, mama terpaksa juga kuat kan semangat tabahkan hati kerana mama tahu, jika tidak, mama akan jatuh tersungkur!! demi kesayangan papa iaitu Qaseh, mama kena kuat walaupun belum tentu kejayaannya.
Terngiang-ngiang di telinga mama kata-kata teman papa "bila ditanya kenapa nak pergi K...jauh tu" arwah menjawab " nak pergi ambil hadiah untuk busyuk aku la". Terima kasih papa, hadiah yang sangat bererti dalam hidup mama juga papa. Papa berikan mama teman supaya mama tak sunyi kan. Mama masih tidak percaya papa telah pergi. 

Rumah rasa sunyi sangat tanpa papa. Hari ini mama mengemas lagi. Dulu masa papa ada, kalau mama dengki tengok papa rileks depan TV, mesti mama saja saja suruh papa tolong mama. Kalau papa tak nak tolong, mama berdiri depan TV, jadi papa tetap kena tolong mama kan.

Hari mama pakai tshirt fav papa!! Rasa sedap sangat pakai baju papa. Nyaman sungguh. Terasa macam peluk papa je. Mama rindu nak peluk papa. Tak puas peluk papa sepanjang perkahwinan kita. Papa, ada pakaian papa yang dalam keadaan baik, mama nak sedekahkan yer..bukan tak sayang, mama sayang, tapi mama sedekah atas nama Allah dan papa, moga pahala itu sampai pada papa disana. Ada yang mama simpan untuk mama dan Qaseh.

October 26, 2013

Rasa Hiba

Semalam cukup seminggu papa pergi. Seminggu juga mama kehilangan kawan, teman, sahabat, kekasih dan suami yang selalu bersama kala mama susah dan senang, kala mama gembira dan duka. Kini, bila mama sedih, tiada lagi insan yang sering memujuk mama, tiada lagi gurau senda membuatkan mama ketawa walaupun saat itu mama tengah marah..ohhh!!! rindu sangat!!! Mama masih belum mampu untuk menulis/ menaip entry ini,tapi kesunyian memaksa mama menulis/menaip sesuatu agar rasa hati mama, rasa rindu mama mampu mama luahkan.

Sunyi tanpa papa. Perginya papa bermakna pergi la juga semangat mama. Melayang entah kemana. Bila papa ada, mama rasa mama kuat dan tabah walaupun papa selalu tak sihat tapi mama nampak papa. Pertama kali melihat papa terkujur kaku, semangat mama melayang, hiba rasa hati bila papa pergi tanpa mama disisi!!! Allahuakhbar!!!!

October 23, 2013

Dia juga telah pergi..

Tanggal 18/10/2013..mama kehilangan lagi..papa telah pergi untuk selamanya..tinggalkan mama dan Qaseh nya. Pergi tanpa mama di sisi..

September 29, 2013

3 Dalam 6

Cukup 3 hari dalam 6 tahun hari ini Mia pergi. Pergi bersama iringan airmata mama dan papa. Pagi tadi tak terasa sangat mungkin sebab mama busy sikit.
Tengah melipat baju Qaseh yang sebakul ni, tetiba airmata mengalir laju bersama esakan. Ohh betapa kehilangan itu menyakitkan. Betapa kerinduan itu bagaikan racun bisa.
Nasib baik papa tak ada, kalau tidak mesti papa pun sedih. Sekarang kalau mama nak nangis, sebolehnya mama cuba elakkan papa ada sebab mama tak nak papa susah hati dan tertekan.
3 hari dalam 6 tahun ini, seolah baru sahaja mama lalui. Dengan gaun pregnant tak berikat tali di belakang, dengan stokin bola tebal yang panjang ke lutut, dengan airmata mengalir sambil mengendong dia yang tidak bernyawa menyusuri NICU, ward dan lobi hospital, dan sesungguhnya mati itu pasti dan sesungguhnya juga Allah memberikan mama sesuatu supaya mama kuat.

September 28, 2013

Qaseh sudah 4 bulan

Anugerah Allah..padanya mama menumpang kasih, membaja rindu seperti rindu pada kakak bidadarinya.

Terasa cepat masa berlalu..dia bukan lagi baby kecil, dia kini baby yang meneroka keadaan sekelilingnya.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Enam Tahun Tetap Sama

Alhamdulillah syukur pada Allah kerana memberi peluang untuk mama sekali lagi.

Cukup enam tahun 26/9/2013 si merah mama lahir..wahh dah sekolah tadika ni. Mesti minta mama belikan cake sebab nak makan dengan kawan kawan sebab si merah mama tahu yang mama dia ni memang tak pandai buat kek, pandai beli aje.

Tapi sayang, enam tahun berlalu dia tiada disisi. Dia lebih bahagia di syurgawi sebab dia bidadari mama. Selamat Hari Lahir Mia!!

Walaupun anak mama tiada, mama tetap sambut hari yang sangat bermakna dalam hidup mama. Sambut dengan kawan kawan pejabat mama.

Mama orderkan cookies dengan lolichoc serta pulut kuning. Berkongsi rezeki dengan kawan kawan walaupun ada yang menyatakan yang mama menyeksa diri dengan berbuat demikian. Walaupun rasa sedih di hati tapi mama tak kisah sebab mama tak susahkan sesiapa pun. Mama rasa happy sangat sebab mama terasa rasa anak mama terloncat loncat mengedik disana sebab mama telah mengembirakan dia.

September 25, 2013

Detik Itu Hadir Lagi

Hari ini mama masuk office, tengok ada parcel atas meja. Alhamdulillah dah received..untuk arwah lil princess mama..


Pagi ni,  breakfast dekat office, mama makan bihun goreng, tetiba air mata berderai derai sambil makan..uhhh sungguh perit meniti hari di bulan September ini..


Esok genap 6 tahun mama meniti rasa rindu mama pada Mia..rindu sangat..


Published with Blogger-droid v2.0.4

Laut Biru

lautan biru tenang dan damai disini pasti beriringan ditepian pantai suatu hari nanti lautan biru kadangkala gelora kadangkala tenang...